Wednesday, May 16, 2007

Selamat Hari Guru

Tarikh 16 Mei merupakan tarikh yang sentiasa dikenang oleh mereka yang bergelar guru dan tarikh ini juga akan diraikan oleh mereka yang bergelar pelajar.Pengalaman menjadi seorang guru walaupun hanya selama 2 bulan benar-benar meninggalkan pengalaman dan kenangan yang tak akan aku lupakan.Setelah merasai sendiri bagaimana menjadi guru, baru ku sedar betapa beratnya amanah yang dipikul oleh seorang guru dalam mendidik anak bangsa agar mereka menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada bangsa, agama dan negara.Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik, semuanya memerlukan banyak pengorbanan dari segi masa, tenaga dan perlu sentiasa berhemah dan bijak dalam mengendalikan pelajar.Walaupun cita-cita aku untuk menjadi seorang guru belum tercapai, aku tak akan berputus asa mengintai segala peluang yang ada demi merealisasikan cita-citaku dan juga harapan arwah abah yang sememangnya ingin melihat aku menjadi seorang guru.

Selamat Hari Guru aku ucapkan kepada semua insan yang bergelar guru ( termasuk kakak2 dan abang aku yang bergelar guru - Kak Za, Kak Ta, Kak Ma dan abang Mat, buat suami tercinta : Abdul Karim - semoga menjadi penjana modal insan cemerlang ! )

KITA PIKUL AMANAH INI
( Renungan buat mereka yang bergelar guru )
Kita sama-sama singgah di pelabuhan ini
Tersuratnya mencari sesuap nasi
Buat penyambung hidup
Jauh tersirat di sudut hati
Kita sama-sama memikul satu amanah
Amanah besar
Amanah kecil
Meski bukan seguni padi
Tapi beratnya ibarat segunung intan
Bukan mudah menjadikan manusia itu 'manusia'
Amanah ini ada kala tercalar
Tercalar oleh kata-kata nista
Tercalar oleh suara-suara sumbang
Segelintir hati kaku dan beku
Rupanya perjalanan kita amat payah
Zahirnya tiada onak dan duri
Namun kerlipan permata itu rupanya kaca
Itu sekelumit cuma
Jauhnya lagi perjalanan ini
Selagi nadi berdenyut, nadi berdegup
Selagi jalan ini kita pilih
Pengorbanan , kesabaran agenda kita bersama
Meski perit, pedih kita titi bersama
Kita bina jambatan untuk mereka menyeberang
Kita bina pelantar untuk mereka berlabuh
Mari sama-sama kita warnai kehidupan ini
Dengan panji-panji semangat dan jati diri.
Terima kasih aku ucapkan kepada guru-guru aku dari tadika sampailah peringkat IPTA iaitu :
  • Tadika KEMAS ( CG. Latifah )
  • SK Marang ( Cg. Halimatun, Cg. Jazan, Cg. Nazli dll )
  • SMA Marang ( Cg. Puspa, Cg. Zainiah, Cg. Maimunah, Cg. Bakar, Ust. Wan Hussin dll )
  • SMKA Sheikh Abdul Malek ( Cg. Aziz, Cg. Rahimi, Ust. Ariffin, Cg. Idrul Hisham dll)
  • Universiti Malaya ( semua pensyarah di Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Sastera )

Kenangan yang tak dapat dilupakan sewaktu alam persekolahan :

  • Pernah didenda berjalan itik keliling kelas dengan buku bahasa arab diletak atas kepala gara-gara tak dapat jawab satu soalan oleh Ustaz Wan Hussin, salah seorang guru yang amat digeruni oleh pelajar!
  • Didenda beramai-ramai oleh guru yang sama dengan membawa bakul berisi sampah dan berjalan dari meja ke meja sambil mengucapkan dialog : ini sampah dan orang yang mendengarnya mesti jawab ya!
  • Pernah dimarah oleh guru atas kesilapan yang dilakukan oleh orang lain... sedihnya...

Bila diingat balik semuanya, aku rasa nak ketawa pun ada... semua ni kenangan yang kita takkan perolehi lagi setelah melangkah keluar dari sekolah...

Semoga bekas pelajar aku di SMK Tengku Lela Segara bakal menjadi pelajar cemerlang

No comments: